Monday, March 19, 2007

Jemput Ziarah ke Laman Baru

Laman ini telah berpindah ke http://www.muhtarsuhaili.com/

Tuesday, March 13, 2007

Catatan Kembara Muhandis ke Eropah

As-Sarawaki, 20 Oktober 2006 (Refresh): Catatan ini ditulis dengan rasa. Catatan ini ditulis kerana cinta. Catatan ini adalah luahan jiwa dan fikrah sebagai hambaNya. Catatan ini dinukilkan atas kehendak untuk menyatakan betapa hidup ini lebih hidup dengan menjiwai agama. Ya.. Hidup lebih hidup dengan Islam!! Catatan ini ingin diabadikan sebagai sebahagian daripada luahan sukma dalam kembara jasad, sekaligus sebagai tinta kata-kata hati dalam memerhati kehidupan, menginsafi kejadian dan mentafsir keinsanan sebagai perantau ke Akhirat.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam di atas segala nikmat dan limpah rahmatNya yang tidak terhingga sehingga membolehkan diri sekali lagi beroleh kesempatan untuk terus melakukan rehlah dan kembara iman atas urusan kerja ke pelusuk dunia ciptaanNya. Alhamdulillah, diri kini berada di Rijswijk, The Hague yakni sebuah kota di bumi Belanda (The Netherlands/ Holland) atas urusan kerja dari 13 September sehingga 21 Oktober 2006. Diri hadir di sini selaku seorang Control and Automation Engineer di Sarawak Shell Berhad dengan tujuan untuk mengikuti EP00 Course: Introduction to Exploration and Production in Oil and Gas Industry. Kembara ini adalah kembara kali ke-8 ke luar negara dan kali kedua ke bumi Eropah selepas bumi Jerman yang diziarahi ketika menjalani Engineering Internship Training selama 3 bulan pada tahun 2004.

Kata-kata mungkin tidak mampu untuk menjelaskan secara menyeluruh apa yang dirasa lewat pengalaman dan pemerhatian rencam ragam kehidupan di sini. Namun catatan ini akan memberiTAHU dan memberiMAHU sesiapa sahaja untuk menghayati frasa-frasa kehidupan yang ditintakan dengan dakwat lautan jiwarasa.

Al-Saihun (Ciri Pengembara)

Catatan kembara kali ini ingin dimulai dengan sebuah coretan tentang al-saihun iaitu salah satu daripada 7 sifat-sifat keimanan yang dipetik dari buku 'Bahtera Penyelamat - Dalam Kehidupan Pendakwah’ karangan Ustaz Fathi Yakan yang juga merupakan seorang muhandis/ jurutera/ engineer yang berjiwa daie, berotak faqih dan berperibadi ustaz yang amat diri ini sanjungi.

Ustaz Fathi Yakan menyatakan dan memperihalkan peripentingnya seluruh kaum Muslimin khususnya para daie untuk beriltizam dengan sifat-sifat keimanan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah At-Taubah, ayat 112: “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang mengembara, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh yang ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang-orang Mukmin itu.”

Melalui ayat Al-Qur’an ini, dapatlah disaring bahawa antara ciri-ciri keimanan yang perlu ada pada diri seorang Mukmin yang beriltizam dengan sesungguhnya dengan Islam dan amal-amal Islami termasuklah:

1. Al-Taibun – orang yang sentiasa bertaubat
2. Al-‘Abidun – orang yang beribadat
3. Al-Hamidun – orang yang bertahmid memuji kebesaran Allah
4. Al-Saihun – pengembara di jalan Allah
5. Al-Raki’un & Al-Sajidun – orang yang banyak rukuk dan sujud kepada Allah
6. Al-Amiru bil Ma’ruf wa Nahuna ‘Anil Munkar – orang yang menyuruh kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran
7. Wal Hafizuna Li Hududullah – orang yang memelihara batas hukum Allah.

Justeru salah satu daripada ciri-ciri keimanan yang dinyatakan di sini ialah al-saihun yakni pengembara di jalan Allah. Sememangnya bagi para daie dan muslih iaitu mereka yang melaksanakan usaha ikhtiar dakwah dan islah, menjadi pengembara adalah salah satu daripada sunnahnya. Pengembara di sini ialah pengembaraan yang melibatkan pemikiran, hati dan perasaan dengan melihat makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi. Pengembaraan para Mukmin adalah pengembaraan menjelajah diri dan segala sesuatu yang disekelilingnya.

Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam berfirman; “Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari api neraka.” (Ali-Imran:190-191)

Perlunya para daie kepada pengembaraan: meneroka dan menjelajah alam semesta yang luas terbentang, angkasa lepas dan galaksi bintang-bintang yang memperlihatkan betapa agung dan besarnya kekuasaan Allah, kerana dengan ini tentunya akan dapat mendorong diri untuk lebih mentaati Allah dan beribadah kepadaNya.

Jika diteliti dan dicermati kita akan dapati betapa mengembara memberi MAKNA dalam sejarah perjalanan hidup para solehin. Tokoh-tokoh besar para ulama' di kalangan Al-Salafussaleh dapat menjelaskan pedih peri perjuangan yang dihadapi, kesabaran dan pengorbanan para leluhur yang dapat menjadi ikutan buat diri para daie. Dengan kelana dalam kembara, mereka dapat meneliti sejarah pertarungan antara kebenaran dengan kebatilan di mana mereka dapat melihat dengan jelas bagaimana kemegahan para taghut, para pemerintah yang zalim dan perancangan musuh-musuh Islam telah lenyap pupus dan hancur berderai. Mereka pasti insaf bahawa pemerintahan yang diasaskan di atas kebatilan usianya tidak panjang sedangkan kuasa yang dibina atas asas kebenaran ianya kekal hingga ke hari qiamat.

Firman Allah SWT; "Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikan kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)." (Al-Nahl:36)

Apabila seseorang daie meneliti rahsia kejadian Allah SWT, meneliti dalam dirinya, kehidupan sekelilingnya, pada air, udara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan pasti ia melihat keagungan dan kebesaran Allah dalam bahasa-bahasa manusia, warna kulit, perangai kecenderungan, keinginan dan rupa paras. Keimanannya pasti akan lebih kukuh dan rasa takutnya kepada Allah makin tinggi. Begitu juga keimanannya akan semakin mendalam. Inilah maksudnya firman Allah SWT; "Sesungguhnya yang takut kepada Allah itu (adalah) dari hamba-hambaNya (dari golongan Ulama') yang berilmu." (Al-Fathir:28)

Oleh kerana besarnya faedah pengembaraan ini, Al-Quran menggesa supaya kita melakukan penjelajahan, pengembaraan, bertafakkur dan bertadabbur (mengambil iktibar dan pengajaran) dalam banyak ayat-ayatNya. Firman Allah SWT; "Maka tidakkah mereka merantau di muka bumi; melihat bagaimana kesudahan orang sebelum mereka (yang mendustakan Rasul) dan sesungguhnya kampung Akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya." (Yusuf:109)

Firman Allah lagi, "Maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar-benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah buta di mata tetapi ialah yang ada di dada" (Al-Hajj:46)

"Maka apakah mereka tidak mengembara di dunia dan memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Manusia-manusia yang sebelum mereka itu lebih hebat keutamaannya dan (lebih banyak) kesan-kesan peninggalan mereka di dunia ini namun apa yang mereka usahakan itu tidak sedikitpun dapat menolong mereka." (Al-Mu'min:82)

"Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka: Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu." (Muhammad:10)

"Katakanlah: "Berjalanlah kamu di bumi merantau, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa. Dan janganlah kamu berduka cita terhadap mereka dan janganlah (dadamu) merasa sempit terhadap tipu daya mereka." (Al-Naml:69-70)

Nah, lihatlah hikmah kembara menuju cita.. Kembara yang membawa kepada mengenal Pencipta. Kembara iman yang menatijahkan damai di jiwa. Maka sewajarnyalah kita menyedari betapa kita ini hanyalah pengembara. Ya.. hanya perantau menuju Akhirat!

Diri ini...
Hanyalah seorang pengembara di bumi Allah...
Tiada apa yang menjadi milikku melainkan segalanya pinjaman dariMu…
DariMu aku datang, kepadaMu jua aku akan kembali..
Sesungguhnya aku dambakan SyurgaMu...
Syurga tempat kembalinya hamba-hambaMu yang soleh...
Dan sesungguhnya aku inginkan keredhaan dariMu..
RedhaMu dalam setiap apa yang aku lakukan..
Dan redhaMu dalam setiap apa yang bakal aku tempuhi...
Hanya padaMu aku berserah..
Moga akan diberikan ketabahan dan kekuatan iman...
Serta sentiasa di dalam pimpinanMu...
Pimpinan dalam menempuh liku-liku kehidupan..
Kehidupan di dunia yang fana..
Kehidupan yang penuh onak ini...
Sebelum menuju ke alam yang abadi...
Pimpinlah dan redhailah hambaMu ini...
Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Pengalaman Menjalani Ramadhan di Perantauan

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda maksudnya: "Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku (Allah) memberikan balasan pahala kepadanya, kerana dia (orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku." (Hadith Qudsi Riwayat Muslim)

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Ramadhan 1427H dijalani buat pertama kalinya di perantauan. Pertama kali menjalani ibadah puasa di luar negara dan insya Allah hanya akan kembali ke tanahair sehari sebelum ‘Eidul Fitri.

Alhamdulillah, Ramadhan di bumi Belanda ini walaupun tidak semeriah di Malaysia tetapi bagi diri, roh ‘Ramadhan’ amat terasa. Amat nikmat rasanya apabila mampu untuk terus melaksanakan tuntutan syahadah Rukun Islam ke-3 meskipun pelbagai cabaran dihadapi dan di dalam suasana yang mana Islam adalah garib (asing) di sini. Sememangnya diakui bahawa semarak Ramadhan di sini perlu kepada kekuatan jiwa dan keutuhan prinsip dek kerana bi’ah (suasana) yang kurang membantu selain Islamiphobia yang masih terus mengakar di seantero Eropah.

Di dalam kursus EP00 yang diri hadiri, terdapat 24 orang peserta yang terdiri daripada 12 kewarganegaraan. Daripada 24 peserta hanya 3 orang Muslimin termasuk diri (2 orang sahabat lagi: Akhi Mohd Yusri – Malaysia - dan Akhi Wasim Lala – Asal India, menetap di Oman dan berkhidmat di UK). Justeru antara persoalan utama dan pertama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana diri harus bertindak sebagai seorang Muslim dalam menyesuaikan diri dengan keadaan tetapi dalam masa yang sama mempertahankan aqidah dan identiti sebagai umat? Bagaimana harus istiqamah mengamalkan perintah Allah dan RasulNya di tengah-tengah manusia yang semakin jauh dari Tuhan? Dan paling penting bagaimana diri mampu untuk melaksanakan tuntutan dakwah bil hal dan dakwah bil lisan di tengah kecamuk cinta dunia dan materialis yang sudah membarah di dalam masyarakat?

Atas segalanya, amat terasa betapa beruntungnya jadi Muslim! Alhamdulillah, di sini diri dipertemukan dengan ramai sahabat seaqidah dari Oman dan beberapa sahabat dari negara-negara lain di Timur Tengah dan Afrika yang turut sama berkhidmat untuk Shell di negara masing-masing dan hadir di sini dengan tujuan untuk menghadiri pelbagai kursus atau latihan yang diadakan di Shell Global Learning and Leadership Development Center di Rijswijk ini. Amat indah rasanya ukhuwwah fillah yang terjalin. Meskipun diakui terdapat juga sahabat Muslimin yang tidak berpuasa malah tidak melaksanakan solat, diri amat bersyukur kerana masih ramai di kalangan yang hadir adalah yang benar-benar menjiwai agama dan masih ada kesedaran Islam di lubuk hati nuraninya.

Allahu Akbar! Believe me.. masih ramai umat Islam yang taat perintah Allah dan Rasulnya di Eropah! Malah tidak keterlaluan seandainya dikatakan Islam secara bertatih sedang berkembang di Eropah. Perlahan tetapi progresif. Tidak nyata tetapi terus dinamik. Ya.. Islam terus tersebar dan mudah-mudahan hidayah kebenaran akan menyentuh hati dan menyapa intuisi kesedaran masyarakat di sini yang terus maju urusan dunianya tetapi kian hilang punca, sesat arah tuju serta gagal mengenal dan memahami erti hidup. Semoga Allah membantu masyarakat Eropah dalam perjalanan sebuah bangsa... mencari Tuhan.

Dari 'Amru Bin 'Auf Al-Anshary, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Anshar pada suatu hari: "Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka." (Muttafaq 'Alaihi)

Menjalani Ramadhan di bumi asing ini antara dilemma yang dihadapi pada awal Ramadhan ialah untuk mendapatkan makanan yang halalan tayyiba dan tiada syubhah. Alhamdulillah, pihak The Grand Winston Hotel tempat di mana diri menginap sepanjang berada di bumi Holland ini ada menyediakan set makanan untuk sahur berupa dua sandwich iaitu sandwich keju dan satu lagi sandwich berintikan ikan salmon mentah selain set minuman, yogurt, sayur-sayuran segar dan buah-buahan. Apapun, sandwich-sandwich ini kurang menepati citarasa diri terutamanya sandwich ikan salmon mentah yang tidak dimasak. Selain itu, dua hari pertama Ramadhan, diri hanya berbuka dengan nasi dan mee Maggi berlaukkan Brahim’s yang dibawa dari Malaysia kerana masih kurang arif tentang logistik kota di sini. Apapun, alhamdulillah bermula Ramadhan ke-3, restoran-restoran yang menyediakan makanan halal sama ada Restoran Turkish, Restoran Arab, Restoran Egyptian, Restoran Al-Jazair, Restoran Lebanese dan restoran-restoran Muslim yang lain menjadi tempat diri dan sahabat-sahabat berbuka puasa. Puas meskipun sekiranya ingin dibandingkan dengan restoran Malaysia ianya agak mahal. Paling murah bagi makanan yang sederhana sekiranya mengambil kira currency change ialah antara Euro7 = RM33 dan Euro20 = RM95. Dan sekiranya berbuka puasa di hotel, paling murah setakat ini ialah Euro23 = RM110 dan boleh menjangkau Euro35 = RM165!! Selain itu, pada hari-hari tertentu yang mana diri dan rakan sekursus sibuk dengan Syndicate Work yang memerlukan bekerja overtime, rezeki makanan tapau halal dari Restoran Shell menjadi juadah berbuka puasa.

Alhamdulillah, segalanya khair dan nikmat!! Cuma seperkara yang amat menyentuh hati setiap kali sahur dan berbuka puasa ialah betapa rindunya diri dengan masakan ibu!! Rindu dengan menu-menu citarasa Malaysia. Benarlah kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan perak di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri!!

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar r.a. berkata: ”Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau." (Hadith Riwayat Bukhari)

Sepanjang Ramadhan, diri mengambil insiatif untuk menjelajah dari masjid ke masjid untuk merasai betapa nikmatnya mengihya’kan Ramadhan. Di awal Ramadhan diri menghadapi sedikit masalah untuk menemui dan menjejaki masjid yang ada di sekitar Rijswijk dan The Hague (atau Den Haag dalam bahasa Belandanya). Apabila bertanya kepada receptionists hotel dan pekerja-pekerja Shell yang based di Rijswijk yang hampir kesemuanya adalah non-Muslim, jawapannya ialah “Sorry, I have no idea!” atau simply “Nein” yang bermaksud “Tak ada”. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT pada malam Ramadhan ke-4, Allah SWT pertemukan diri dengan Akhi Hamood, Akhi Hamed Al-Dhahri dari Oman dan Akhi Abdul Rahim El-Jibry dari Libya yang sering ke masjid untuk Solat Tarawikh semenjak malam pertama Ramadhan. Mereka memaklumkan tentang lokasi masjid-masjid yang ada dan alhamdulillah pada malam ke-4 Ramadhan kami bersama-sama ke The Hague menunaikan Solat Maghrib, iftar bersama di Egyptian Restaurant dan Solat Tarawikh secara berjamaah. Di Rijswijk sememangnya tidak ada masjid dan masya Allah, sekurang-kurangnya terdapat 11 masjid di sekitar kota The Hague! Allahu Akbar, Allah Maha Besar!!

Firman Allah SWT: "Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali-Imran:139)

Sungguh, nikmat Ramadhan di perantauan bagi yang punya rasa mahu dan kehendak membara adalah sesuatu yang amat indah. Di tengah kehancuran nilai dan kemunduran akhlaq beragama, masih ramai yang taat kepada perintah Ilahi dan menjunjung tinggi segala suruhanNya. Di Masjid Al-Muhsinin, The Hague iaitu masjid yang diri sering menunaikan solat Tarawikh, SubhanalLah sentiasa penuh! Kalau masuk ke dalam masjid, terasa seolah-olah bukan berada di bumi Holland!! Allahu Akbar!! Masjid tersebut 5 tingkat dan setiap malam penuh, malah kadang-kadang terpaksa berhimpit-himpit. Masjid lain yang ada di sini yang menggamit takjub pada Ilahi Rabbi ialah Masjid As-Sunnah. Kebanyakan umat Islam aliran Salafi yang mendedikasikan pegangan mereka kepada Ibnu Taimiyyah mengimarahkan masjid ini. Jemaah di sini sungguh-sunguh memegang utuh Sunnah Rasulullah SAW dan semampu mungkin mengamalkan agama berdasarkan Al-Qur’an dan hadith-hadith sahih baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: "Sesungguhnya Islam itu bermula dagang dan ia akan kembali dagang seperti permulaannya. Maka Thuba (sejenis pohon di syurga) bagi orang-orang dagang itu." (Hadith Riwayat Muslim)

Sebuah lagi masjid yang diri sempat hadir untuk Solat Tarawikh ialah Masjid Al-Aksa yang diimarahkan kebanyakannya oleh masyarakat Islam dari Turki. Masjid ini bertukar menjadi masjid pada 27 Julai 1979 yang mana asalnya bangunan masjid ini dahulunya adalah sebuah Sinagog Yahudi!! Allahu Akbar! Apapun diri hanya solat Tarawikh sekali sahaja di masjid ini kerana solat Tarawikhnya yang agak ganjil iaitu 4 rakaat dan satu salam sepertimana Solat Isyak. Dan sebuah lagi masjid yang sempat diziarahi dan beribadah di dalamnya ialah Masjid Al-Fateh yang terletak di Jacob Catstraat.

Alhamdulillah, setiap hari antara Maghrib dan Isyak selalunya akan ada Qari yang membaca Al-Qur’an selain ceramah agama yang disampaikan di dalam bahasa Belanda atau Arab. Jadi kadang-kadang diri tidak faham langsung isi ceramah yang disampaikan sekiranya ianya di dalam Bahasa Belanda dan jika di dalam bahasa Arab, alhamdulillah boleh faham 70% dengan pengisian utamanya mampu dihadami dan difahami. Terkenang Ramadhan-Ramadhan yang lalu, selalunya diri akan menyampaikan ceramah Ramadhan.. Tetapi mungkin tahun ini Allah ingin mentarbiyyah diri untuk menjadi pendengar yang baik. A good listener is one of the characteristics of a good leader!

Tentang EP00 Course dan Rencam Ragam Manusiawi

Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah! Aku percaya kepada Allah kemudian istiqamahlah (pegang teguhlah pendirian itu)." Dengan itulah kita hadapi segala persoalan di dalam hidup ini. Dengan itu kita kibarkan panji kita. Kalimat itulah yang terlukis pada jiwa kita, dan dengan pendirian itu kita hidup di tengah-tengah masyarakat. Dengan itu kita jiwai seluruh kebudayaan dalam segala macam seginya, dengan itu pula kita mencari pengetahuan dalam segala macam cabangnya. Itulah pangkalan tempat kita bertolak dan itulah pelabuhan terakhir tempat bahtera itu bersauh.

Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya "Pandangan Hidup Muslim" menjelaskan dengan amat menarik tentang makna istiqamah. Beliau menukilkan: "Kita akan mengembara di dalam hidup. Kita akan menempuh lautan dan daratan. Kita akan menempuh bunga kuncup dan bunga kembang. Kita akan menempuh pasang naik dan pasang surut. Kita akan menempuh angin sepoi dan angin puting-beliung. Kita bertemu dengan yang benar dan yang salah, yang elok dan buruk, yang indah dan yang jelek sekalipun. Kita akan pernah merasa puas dan pernah pula merasa kecewa. Kita akan pernah merasa ragu-ragu, akan tetapi terang-benderang pun akan ada dalam jiwa kita, dan ada juga masanya berjumpa gelap dan gelita. Tetapi yakinlah bahawa satu hal tidaklah akan pernah padam, meskipun diakui dia pernah juga litup diselaputi awan, namun hilang sama sekali dia tidak.

Yang satu itu ialah kepercayaan kepada adanya Tuhan! Kepercayaan yang satu itulah yang disuruh pelihara baik-baik, dipegang teguh-teguh, sebab inilah ‘pangkal tempat bertolak’, dan ini pulalah keputusan dari segala hukum.

Kalau di dalam alam besar cakerawala ada matahari yang tidak pernah padam cahayanya, maka di dalam alam kecil iaitu insan pada diri kita, kepercayaan itulah mataharinya. Tetap memelihara dan memegang kepercayaan itu, itulah bernama "istiqamah".

Maka tegaklah dengan teguh, istiqamahlah, laksana batu karang di hujung pulau, menerima hempasan segala ombak dan gelombang yang menggulung; setiap ombak dan gelombang datang, setiap itu pula ia membawa zat yang akan menambah kukuh dirinya.

Tegaklah dengan teguh, istiqamahlah, laksana sebatang pohon beringin di tengah padang; menerima segala angin sepoi dan angin badai. Kadang-kadang berderak-derik, laksana akan terbang runtuh, terhoyong ke kiri dan ke kanan. Demi angin berhenti dan alam tenang, dia tegak pula kembali dan uratnya bertambah terhunjam ke petala bumi.

Kemudian dibuka pintu seluas-luasnya buat kita berjuang mencari diri di dalam arena hidup. Kepercayaan dan keyakinan itu hendaklah dipelihara baik-baik, diasah dan diasuh; dijadikan ‘tujuan hidup’. Sehingga akhirnya tidak membelok kepada yang lain, dan tidak berbilang, tidak dua dan tidak pula tiga, akan tetapi ‘hanya satu’. Di sini kepercayaan tadi mendapat salurannya yang wajar. Itulah dia ‘tauhid’. Keesaan kepercayaan, atau pemusatan kepercayaan.

Justeru, cubalah pasang dan susun jiwa kembali. Kembali ke dalam istiqamah, nescaya terbukalah kembali hijab. Nescaya hilanglah bayang-bayang dari sesuatu yang tidak ada hakikatnya. Mencari persesuaian istiqamah pada diri dan mustaqim pada jalan, itulah perjuangan hidup kita. Asalkan istiqamah tak pernah lepas, jalan itu pasti bertemu."

Alhamdulillah, sepanjang 5 minggu menghadiri kursus EP00 di sini, konsep istiqamah inilah yang cuba dijiwai dan ditanamkan di dalam diri. Rencam ragam rakan-rakan sekursus dan pelbagai aktiviti Western-based memerlukan diri punya prinsip. Tidak cukup mempunyai prinsip, tetapi perlu mempertahankan prinsip! "In term of style swim with the stream, but in term of principle stand like a rock!"

Dunia kerjaya di sebuah syarikat multi-nasional, pastinya diversiti budaya dan kepelbagaian gaya hidup adalah satu kemestian. Budaya kerja atau business core values yang diterapkan di dalam Shell terkandung dalam slogan "Integrity, Honesty and Respect for People" dan ditambah lagi dengan 8 business principles yang cuba diterapkan di dalam organisasi di seluruh peringkat bagi diri adalah sesuatu yang amat baik. Lebih daripada itu, amat diyakini bahawa semua nilai-nilai tersebut hampir keseluruhannya diiktiraf sebagai sifat-sifat mahmudah di dalam Islam. Bezanya semua ini hanyalah moral dan bukannya akhlak seandainya ianya tidak diadun dengan agama dan berpaksi kepada kepercayaan kepada Tuhan!

Akhlak itu bermakna kejituan dalam menilai sesuatu kebijaksanaan, perwatakan, tabiat, dan maruah berasaskan al-Din yakni agama. Al-Junaid telah memberi ta'rif makna akhlak dari kacamata tasauf dengan amat jelas dengan menyatakannya sebagai "Membersihkan hati dari menurut kehendak orang, meninggalkan perangai semulajadi (yang buruk) mendisiplinkan sifat manusiawi, menolak ajakan nafsu, menghayati sifat-sifat ruhaniah, berpegang kepada ilmu yang sebenar, di samping sentiasa beramal dengan keutamaan yang lebih utama, sentiasa menasihati ummah, setia dengan Allah dengan berpegang kepada kebenaran dan menurut Rasul dalam syariat (undang-undang Islam)".

Tidak samanya moral dan akhlak itu bolehlah dianalogikan seperti tidak samanya jimak dengan zina, tidak samanya berlapar dengan berpuasa, tidak samanya cukai dengan zakat, tidak samanya derma dengan sedeqah, tidak samanya melancong ke Mekah dengan menunaikan umrah/ haji ke Baitullah, dan tidak samanya daging ayam yang tidak disembelih dengan daging ayam yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya! Nampak sama pada zahirnya tetapi berbeza nilainya di sisi Allah SWT!

5 hari pertama kursus ini ialah Team Building Module yang mana diri dan semua peserta perlu melakukan ‘Incredible Journey’ dari Learning and Leadership Development Center di Rijswijk, The Netherlands ke Outdoor Center di Nadrin, Belgium. Di dalam aktiviti ini, para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan (6 perserta setiap kumpulan) dan diri menyertai kumpulan The Packers yang terdiri daripada Sean Fitzgerald (dari Texas, USA), Maria Krauze (Russian), Ivo Heitman (orang tempatan – Dutch), Codjo/ Max Afidegon (asal Togo tetapi berkhidmat di New Orleans, USA) dan Khoo Cia Ping (Malaysian).

Incredible Journey ini ialah satu aktiviti di mana setiap kumpulan dikehendaki berusaha untuk sampai ke destinasi (bertolak dari bangunan Shell di Rijswijk pada pukul 2.00 petang Jumaat dan dikehendaki tiba di Nadrin sebelum pukul 8.00 pagi keesokannya) dengan membuat perancangan perjalanan sendiri dengan hanya alamat Ardennes Outdoor Center di Nadrin, Belgium sahaja yang diberi selain wang saku sebanyak Euro80 setiap seorang. Beberapa prasyarat perlu dilaksanakan sepanjang perjalanan tersebut antaranya perlu menggunakan sekurang-kurangnya 7 jenis kenderaan/ pengangkutan, mendapatkan buah-buahan yang pelbagai dari negara yang mana Shell beroperasi, mendapatkan sejambak bunga untuk course instructor, mengumpulkan 15 orang di satu kumpulan dan meminta mereka menyanyikan lagu The Beatles, mendapatkan wine Made in Holland dari pelbagai jenama, mendapatkan cookies Belgium yang pelbagai jenis dan pelbagai lagi prasyarat yang entah apa-apa entah!

Bagi diri, tujuan aktiviti ini iaitu untuk mengeratkan ‘teamwork’ adalah baik tetapi pelbagai perkara yang sememangnya tidak Islami sifatnya membuatkan dilemma sentiasa terasa di dalam hati. Bayangkanlah di dalam kumpulan ini terdapat 2 orang wanita dan kami akan melakukan ‘perjalanan malam’ bersama-sama. Memang pelbagai pengalaman yang membuatkan diri rasa berdosa sepanjang aktiviti ini. Paling mengejutkan ialah apabila tiba-tiba wanita Russia di dalam kumpulan kami memeluk diri dan terus mengambil gambar. Astaghfirullah!! Diri terus meleraikan pelukan tersebut dan memaklumkan: “Sorry, kindly please don’t do this again next time, I’m not feeling comfortable with it!” iaitu polite way of saying “Itu bukan cara agamaku!” Dan sepanjang program ini, diri dapati sememangnya berpelukan antara lelaki dan perempuan adalah lumrah. Mereka menganggapnya perkara biasa malah wanita-wanita Barat di sini merelakan malah kadang-kadang diri perhatikan mereka seronok melakukannya atau suka diperlakukan sedemikian rupa! They enjoy doing it! Itulah jadinya bila sudah tiada rasa malu dan tidak kenal dosa pahala!!

Dari Abu Mas'ud, Uqbah bin Amru Al-Anshari Al-Badri r.a. katanya : “Telah bersabda Rasulullah SAW: “Di antara sabda para Nabi yang terdahulu yang masih dipakai untuk orang ramai (sehingga kini) ialah: “Jika engkau tiada malu, buatlah sesuka hati kamu.””

Seterusnya, pada malam tersebut juga kami perlu mencari hotel untuk menginap dan malangnya disebabkan kami tiba agak lewat di Nadrin iaitu lebih kurang pukul 1.30 pagi, maka tiada hotel yang masih dibuka (Ardennes di Nadrin adalah sebuah kawasan terpencil di Belgium). Justeru, rakan sekumpulan yang lain mencadangkan untuk bermalam di gereja berhampiran. Diri dengan tegas menyatakan; “I believe that is not the best idea. I’m a Muslim and it is not advisable for me to do so.” Akhirnya kami semua bermalam di sebuah khemah terbuka di dalam kesejukan malam. Sepanjang malam tersebut diri tidak dapat tidur malah sukar untuk melelapkan mata. Dan alhamdulillah padang rumput nan menghijau menjadi saksi pengabdian diri padaMu Ilahi Rabbi. Semoga Engkau terima taubatku malam itu dan ampunkanlah kekhilafan, kelemahan dakwah dan kejahilan hambaMu ini Ya Allah!

Sesungguhnya orang mukmin hanya meminta pertolongan daripada Allah. Dalam menghadapi sesuatu kesulitan, orang yang lemah imannya selalu gelisah. Dia mencari pertolongan kepada sesiapa saja yang dianggapnya dapat meringankan kesulitan yang dideritainya itu, walaupun pertolongan itu sifatnya hanya sebagai sementara sahaja. Mukmin yang sejati hanyalah meminta pertolongan kepada Allah. Ia memohon terus kepada Allah, tanpa ada perantaraan orang lain. Allah SWT telah berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Al-Mu’min: 60)

Sememangnya sepanjang perjalanan tersebut, banyak kompromi yang terpaksa diri korbankan! Sewajarnya tidak, tetapi keadaan ‘darurat’ memaksa! Hanya dakwah bil hal dan bil lisan terhad yang mampu diri lakukan.. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan tersebut melihat kepada ‘kepelikan’ ehwal diri dan setelah mereka maklumi bahawa diri seorang Muslim, sebahagian rakan sekumpulan bertanya tentang apa itu Islam? Secara kesimpulannya, diri dapati kebanyakan mereka sama ada hanya tahu terlalu sedikit atau memang langsung tidak tahu iaitu ‘no idea’ tentang agama Islam dan ajarannya. Kebanyakan mereka hanya tahu Islam itu Terrorist, Islam itu membawa keganasan, Islam itu mundur dan pelbagai lagi perkara negatif tentang Islam. Malah mereka takjub, terpinga-pinga dan hairan apabila melihat diri menunaikan solat di mana-mana sahaja (surau dan musolla sempurna sukar ditemui sepanjang perjalanan). Alhamdulillah atas kapasiti termampu diri menerangkan tentang apa itu Islam dan keindahan ajarannya. Ya Allah itu sahaja yang diri termampu! Semoga ianya sedikit sebanyak menjadi asbab hidayah buat mereka atau sekurang-kurangnya menjernihkan pandangan mereka tentang agama Islam yang amat diri cintai!!

Sepanjang 5 hari di Nadrin, pelbagai teori dan aktiviti ‘team building’ dilaksanakan. Pelbagai juga cabaran sebagai seorang Muslim terpaksa ditempuhi. Pertamanya makanan yang meskipun dimaklumkan halal tetapi kadangnya terasa syubhah dan was-was. Keduanya, terpaksa mencuri-curi waktu untuk menunaikan solat dan tempat solat yang tidak begitu kondusif. Ketiganya setiap kali makan malam, para peserta akan ‘berpesta’ minuman keras sambil kononnya berhibur. Diri selalunya tidur awal untuk menjauhkan diri dari perbuatan syaitan!

Allah SWT berfirman: “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". (Al-Baqarah: 219)

FirmanNya lagi: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maa’idah: 90)

Dari Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum khamar di dunia lalu dia meninggal dunia sedangkan dia telah terbiasa dan belum bertaubat maka dia tidak dapat meminumnya di Akhirat nanti!”

Demikianlah alam kerjaya di sebuah Dutch- and British-based company khususnya apabila berprogram atau berkursus di luar negara! Antara prinsip dan kompromi kadangnya bertelingkah. Malah kadangnya mencacamarbakan konflik diri. Apa yang pasti, diri menganggap kerja ini sebagai sebahagian daripada fardhu kifayah. Mudah-mudahan kehadiran diri membawa khair. Di sebalik semua ini, satu perkara yang perlu diakui betapa masyarakat Barat dari segi modul regu kerja memang tersusun meskipun tidak Islami dan lebih dari itu semangat kerjanya amat perlu dicontohi. Semua perkara-perkara ini iaitu bersatu-padu, bermotivasi tinggi dan kuat usaha sebenarnya adalah antara akhlak terpuji di dalam Islam. Dan jika diteliti realiti hari ini kita akan dapati betapa masyarakat Barat maju ke hadapan kerana merekalah yang ‘seolah-olahnya menghayati konsep Islam’ dalam konteks ini! Justeru itu, umat Islam perlu kembali menghayati semangat berpasukan dan enthusiasma dalam bekerja agar kecemerlangan ummah akan dapat dipugarkan kembali. Ayuh umatku, marilah kita ‘Membangun Bersama Islam’.

Sekembali ke Learning and Leadership Development Center di Rijswijk dari Nadrin, kursus EP00 diteruskan dengan pelbagai teori, pendedahan teknologi dan latihan praktikal berkenaan Industri Minyak dan Gas. Alhamdulillah pelbagai ilmu teknikal baru diperolehi merangkumi subsurface engineering seperti seismic survey, geological static model, dynamic reservoir analysis dll; surface engineering seperti process flow scheme, oil and gas processing, equipments, field development, infrastructure development dll; ekonomi dan komersial serta sustainable project management. Kesimpulannya, ilmu teknikal, teknologi terkini dan variasi ilmu sains amat perlu dikuasai oleh umat Islam untuk bersaing dalam kepesatan kemajuan dunia globalisasi hari ini.

Selain itu, para peserta juga berkesempatan untuk melawat Leiden Naturalis Museum, Shell International Virtual Center, OBZL Drilling Rig di Rottherdam dan Berkel Oil Field untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana eksplorasi dan pemprosesan minyak dan gas dilakukan. Sepanjang 4 minggu ini juga kami dibahagikan kepada Feasibility Study Group untuk secara simulasi membangunkan Rabi Field di Gabon. Setiap minggu akan ada syndicate work yang perlu diselesaikan secara berperingkat-peringkat yang akhirnya dibentangkan kepada management panel untuk mendapatkan approval untuk meneruskan projek tersebut. Alhamdulillah di akhir kursus, kumpulan Rabi Development Team yang disertai oleh diri, Eric Duveneck (German), Gerrit Guichelaar (Dutch), Juan Pi Alperin (Argentina), Maria Krauze (Russian) dan Phyllis Seli (Malaysian) diiktiraf sebagai kumpulan ke-2 terbaik keseluruhan. Segala puji bagi Allah SWT, segalanya khair!

Atas segalanya, diri berdoa semoga Allah terus mengurniakan kepada diri kehidupan 'Thayyibah' yang mencakupi segala bentuk kabahagiaan, kemuliaan dan kenikmatan baik yang bersifat jasmaniah mahupun rohaniah baik dalam kehidupan di dunia ini, mahupun di Akhirat. Sesungguhnya mempunyai iman yang teguh, cita-cita yang luhur, sentiasa mengerjakan kebajikan, selalu dalam perjuangan, tidak melakukan kejahatan, sabar dan menunjukkan peribadi yang baik adalah antara sifat orang yang beriman. Apabila ditimpa musibah dia sabar. Jika mendapat nikmat dia bersyukur. Dalam hidupnya sentiasa terbayang kedamaian. Hal inilah yang digambarkan oleh Allah bermaksud: "Sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan dia beriman, nescaya Kami beri kepadanya kehidupan yang baik (Thayyibah) dan Kami berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih baik dari kebaikan yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl: 97)

Tour de Amsterdam

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, pada 30 September 2006 diri telah menjelajahi kota Amsterdam bersama-sama Akhi Hamed Al-Dhahri, sahabat dari Oman yang berkhidmat dengan OmanLNG. (Foto: http://as-sarawaki.fotopages.com/?entry=942167). Ziarah ke kota ini mengembalikan nostalgia dua tahun yang sudah ketika melawat Kota Berlin dan kota-kota lain di bumi Jerman. Kota-kota di Eropah kebanyakkannya memperlihatkan kekuatan sejarah lamanya dan kehebatan kemajuan masa kininya.

Sesungguhnya kota Amsterdam adalah kota lama yang menceritakan kenangan Zaman Kegemilangan Belanda. Amsterdam merupakan ibu negara Belanda yang terletak pada perairan Teluk IJ dan Sungai Amstel. Amsterdam telah dijumpai pada akhir abad ke-12 sebagai satu perkampungan nelayan di muara Sungai Amstel. Menurut lagendanya, Amsterdam telah dijumpai oleh dua nelayan Frisian, yang telah mendarat di pesisir Amstel dengan sebuah bot dan kemudiannya pengempangan Sungai Amstel memberikan namanya dalam bahasa Belanda: Amstelredam "Empangan dalam Dam Amstel" yang akhirnya menjadi Amsterdam. Seperkara yang menarik ialah walaupun Amsterdam merupakan ibu kota Belanda, ia bukannya ibu kota negeri dalam province di mana ia terletak iaitu Belanda Utara (ibu kota negeri Belanda Utara ialah Haarlem) dan ia juga bukan pusat pemerintahan kerajaan (pusat pentadbiran Belanda ialah di The Hague).

Sepanjang berada di Amsterdam, diri sempat melakukan Canal Cruises iaitu Boat Touring di sepanjang terusan yang ada di sekitar Amsterdam. Ini adalah antara tarikan utama pelancong di kota Belanda. Sepanjang canal cruises selama sejam setengah ini didapati sebahagian besar Amsterdam terdiri daripada satu siri sepusat semibulatan terusan yang telah dibina di sekeliling pusat bandaraya lama yang mana masih dikekalkan susun atur dan wajah asalnya. Banyak bangunan, rumah cantik dan pangsapuri diletakkan di sepanjang terusan yang mana dimaklumkan bahawa kebanyakan rumah-rumah tersebut masih berpenghuni, selain terdapat juga yang telah dijadikan pejabat dan beberapa bahagian menjadi bangunan-bangunan awam.

Antara tarikan utama di Amsterdam juga ialah pelbagai muzium menarik untuk dikunjungi antaranya Van Gogh Museum, Van Loon Museum, Rijsk Museum, Rembrantdthuis, Shceepvaart/ Maritime Museum, Stedelijk Museum, Willet-Holthuysen Museum, dan banyak lagi. Diri hanya sempat masuk ke dalam Van Gogh dan Rijsk Museum. Van Gogh Museum menempatkan lebih 200 hasil seni Vincent Van Gogh dan beberapa pelukis dan sculptors abad ke-19. Apa yang malangnya, Van Gogh yang berjiwa seni itu akhirnya mati membunuh diri. Dia tidak menemui damai dalam lukisan dan seninya! Dia gagal menemui Tuhan dengan imaginasi seninya! Benarlah betapa sesungguhnya damai, tenang dan bahagia itu hanyalah dengan mengingati Allah SWT.

Allah SWT berfirman; “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati-hati akan menjadi tenteram.” (Ar Ra’d: 28) FirmanNya lagi; “Dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (Al Anfal: 45). Seterusnya, firman Allah ‘Azza wa Jalla; “Hai orang–orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak–banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.” (Al Ahzab : 41 – 42)

Selain itu terdapat sebuah lagi museum iaitu Sex Museum. Diri sempat mengambil gambar entrance museum yang memperlihatkan kebobrokan akhlak tamadun manusia. Diri dapati museum ini sememangnya menjadi tumpuan dan ianya satu-satunya museum yang masih dibuka selepas pukul 5.00 petang malah dimaklumkan bahawa ianya beroperasi sehingga larut malam. Selain itu, sepertimana juga Kota Berlin, Hamburg, dan kota-kota Eropah yang lain yang pernah diri ziarah, di sini terdapat kawasan yang dinamakan Red Light District yang menempatkan deretan kedai-kedai erotic, sex shops dan juga pusat-pusat pelacuran berlesen!

Lebih dahsyat dari itu, zina, pergaulan bebas, kehancuran institusi kekeluargaan, budaya gay, lesbian dan segala macam kebobrokan jenayah seks di dalam Islam adalah diiktiraf, dibuat secara terang-terangan tanpa segan silu dan dianggap sebagai hak asasi manusia di sini.. Tiada siapa boleh melarang! Dan inilah seburuk-buruk jahiliyyah moden!! Lupakah mereka akan ancaman azab Allah SWT?? Atau belum datangkah kepada mereka berita tentang balasan nerakaNya??

Allah SWT berfirman; “Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 39) FirmanNya lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan melakukan kezaliman, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni (dosa) mereka dan tidak (pula) akan menunjukkan jalan kepada mereka, kecuali jalan ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan yang demikian adalah mudah bagi Allah.” (An-Nisaa’: 169). Selanjutnya firmanNya juga; “Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Huud: 16)

Alhamdulillah, setelah melihat dan memerhati gerak-geri pelbagai ragam manusia dan melihat keindahan kota, diri berkesempatan hadir di Masjid Al-Muhsinin, Amsterdam untuk menunaikan Solat Zuhur dan Asar serta iftar (berbuka puasa), Solat Maghrib dan Solat Isyak secara jama’ dan qasar. Alhamdulillah, setiap kota yang diri ziarahi, masjid adalah satu kemestian untuk diri mencarinya setibanya di tempat tersebut. Sesungguhnya Allah SWT berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud; "Sesungguhnya orang-orang yang suka memakmurkan masjid hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan percaya kepada hari Akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan orang yang tidak takut selain Allah. Mudah-mudahan itulah orang yang akan mendapat petunjuk Ilahi".

Alhamdulillah, kala ketenangan ditemui di rumah Allah SWT, sebagaimana selalu, luahan rasa dan resah fikiran yang bermain-main di minda dan membebani perasaan diluahkan dan diterjemahkan lewat sebuah puisi yang terhasil di Masjid Al-Muhsinin, Amsterdam. Semoga ada khairnya dunia dan Akhirat. Amiin.

LUAHAN PERANTAU

Aku anak rantau di sini
Jauh dari batas tanahair
Rindu menggamit rasa sanubari
Pada pesona cinta kasih
Insan-insan istimewa di hati

Aku musafir di sini
Alhamdulillah nuraniku damai
Semarak Ramadhan indah sekali
Aku temui ramai Muslimin sejati
Yang amat taat akan suruhan Ilahi
Di tengah kota kehancuran nilai
Di negara Eropah yang susut budi

Aku teruskan kelana di sini
Mencari erti hakikat keluhuran maknawi
Memerhati keinsanan yang sukar ditafsir

Di sini kutemui..
Kehidupan manusia penuh seribu teka-teki
Hanyut dengan tipuan dunianya sendiri
Hanyut dari kesantunan maknawi
Hidup yang bebas dari intuisi hakiki

Sungguh..
Kesucian maruah sukar kutemui di sini
Rasa malu sudah mati di sana-sini
Yang ada hanyalah hidup tanpa erti
Yang ada hanyalah kemajuan tanpa isi!

Aku kembara lagi di sini
Lalu terdetik di sudut hati
Kenapa manusia masih menyetan lagi!
Mengapa kedurjanaan masih meraja di sini!

Dan aku di sini..
Masih menanti jawapan murni
Pada siri persoalan sangsi
Sampai bila harus begini?
Haruskah terus mendiamkan diri?
Mana dia sentuhan suci para daei?

Akhirnya aku perlu akui
Akan kelemahan ikhtiar diri..
Akan kurangnya usaha dakwah ummah ini!!

Aku hanya musafir di sini
Yang ingin menjadi Muslim sejati
Satu cita yang berirama pasti
Mengalun di sukma penuh harmoni
Mengharap redha Ilahi Rabbi
Menggapai cinta kasih abadi
Mengharap najah dunia Ukhrawi!

MUHTAR SUHAILI
Masjid Al-Muhsinin, Amsterdam
30 September 2006, 7.55pm.

Tour de Paris, Perancis

Alhamdulillah pada 6 – 8 Oktober 2006 diri telah menjejakkan kaki ke Kota Paris, kota kemegahan Perancis. (Foto: http://as-sarawaki.fotopages.com/?entry=948714). Inilah salah satu kota yang diziarahi yang mana terasa seolah-olah satu mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan. Inilah salah satu tempat yang selama ini hanya didengar kehebatannya dan dimaklumi kemahsyurannya lewat khabar media dan cerita-cerita orang yang pernah hadir di kota tersebut. Masya Allah Paris sememangnya amat menarik! Paris.... I was there.... But really wanna go back again!!

Selama dua hari diri di kota ini, pelbagai tempat menarik sempat diziarahi dengan menggunakan pakej Sightseeing Tour of Paris with Les Cars Rouges iaitu mengelilingi kota Paris dengan menaiki bas pelancong. Diri sempat naik ke puncak Eiffel Tower, menziarahi Museum Du Louver, bergambar di hadapan Arc de Triomphe, melihat Musee D’Orsay, Hotel des Invalides, Grand Palais, Petit Palais, A l’angle de ‘Avenue Paul Doumer, Avenue Winston Churchill, menyusuri taman kota Tuilleries, membeli-belah cenderamata dan ole-ole di Notre Dame dan berjalan-jalan di sepanjang Sungai Seini.

Bagi diri keistimewaan dan keunggulan Paris ialah pada kecantikan susun atur kota dan kehebatan nuansa seninya yang memadukan bangunan lama dan baru dengan sempurna. Selain itu, subhanallah kota ini sememangnya sebuah kota dan taman yang indah. Kota ini ditata begitu epik, seperti dirancang untuk masa depan tidak terbatas. Setiap simpang jalannya menarik dan di situ bertemulah deretan gedung dan bangunan bercirikan zaman silam yang hingga kini tetap terpelihara rekabentuknya meskipun telah berusia ratusan tahun. Diri dimaklumkan model luar bangunan-bangunan lama itu tidak boleh diubahsuai tetapi pemiliknya diberi kebebasan mengubahsuai interior dalamannya berdasarkan kehendak mereka mengikut kesesuaian rekabentuk moden yang diingini. Usaha pemuliharaan nilai sejarah yang diadun dengan kemodenan senibina inilah yang menjadikan kota Paris amat menarik.

Ya.. Siapa yang tidak bersetuju mengiktiraf Paris sebagai kota cinta? Bagi diri Paris sememangnya amat sesuai dengan nama jolokannya ‘Kota Cinta’. Suasana di sini damai dan masyarakatnya hidup mesra dan santun. Dari permerhatian diri secara peribadi, hubungan sosial di Perancis juga tampaknya lebih "manusiawi" berbanding di Jerman atau di Belanda iaitu negara Eropah yang pernah diri jejaki. Bagi diri yang Muslim, andai saja orang Perancis bertauhid, merekalah Muslim sejati. Tanpa sedar, mereka mempraktikkan banyak ajaran Islam. Ini termasuklah hadith Nabi SAW yang bermaksud "Kebersihan adalah sebahagian dari iman". Sememangnya Paris amat bersih dan itulah juga pemerhatian diri apabila melawat kota-kota besar Eropah yang lain. Malah ketika berada di Singapura, negara jiran terdekat Malaysia juga amat bersih jika ingin dibandingkan dengan negara kita. Semoga kita mengambil iktibar..

Berjalan-jalan sendirian di sepanjang Sungai Seini membuatkan diri terfikir alangkah indahnya sekiranya suatu masa nanti mampu berbulan madu di sini!! Mana tidaknya, diri amat tersentuh melihat di sana ketika berjalan-jalan di tepian sungai yang mengalir damai itu, beberapa pasangan yang rasanya usia sudah menjangkau 60-an atau 70-an amat bahagia bermesraan sambil berpegangan tangan. Harap jangan salah faham, maksud diri di sini bukannya menyanjung gaya hidup masyarakat Barat tetapi ada perkara yang boleh kita contohi, pelajari dan teladani. Meskipun diakui kehancuran akhlak dan kepincangan institusi kekeluargaan sudah kronik di sini, tetapi seperkara yang perlu kita contohi ialah bagaimana kasih sayang antara suami isteri tadi amat akrab meskipun telah berada di usia senja. (Nota: Sekadar pemerhatian dari kacamata seorang bujang.. :-))

Lebih dari itu, seorang profesor pernah menyatakan kepada diri betapa cara masyarakat Barat menyatakan kasih sayang mereka kadangnya jauh lebih baik dari kita orang Melayu. Buktinya, lihat saja di Malaysia, di awal perkahwinan bukan main intim lagi, tetapi setelah 10-20 tahun, keakraban itu sudah semakin pudar. Pendek kata, romantisnya sudah tidak terasa. Paling malangnya ramai yang bercinta sakan sebelum kahwin akhirnya perkahwinan tersebut hancur berkecai dan hanya bertahan selama 1-2 tahun atau malah jangka masa lebih pendek dari itu. Lebih mendukacitakan, fenomena seperti ini (khususnya di kalangan selebriti) seolah-olah sudah semakin menjadi trend di negara Hadhari kita dewasa ini!!

Diri juga sempat sampai ke puncak Menara Eiffel. “Paris is really beautiful and it becomes so splendid from the eyes of Eiffel!” Itulah yang boleh dikatakan apabila melihat keindahan Paris dengan taman, sungai, dan bangunan-bangunan di seluas kota dari dek atas menara besi yang terkenal tersebut. Segala puji bagi Allah, Pemilik dan Pentadbir Yang Maha Indah kepada seluruh alam yang Maha Indah ini!!

Museum Du Louvre juga amat menarik. Ianya merupakan museum terbesar di dunia. Bangunan Du Louvre ini dulunya merupakan bekas istana raja-raja di mana setiap raja pasti membangun atau mengubahsuai istana ini sesuai dengan keinginan atau karakteristik raja tersebut masing-masing. Apabila masuk ke dalam istana lama ini, sememangnya ianya amat luas dan menarik. Selain itu, lukisan Mona Lisa oleh Leonardo da Vinci yang amat terkenal itu juga tersimpan di dalam museum ini.

Walaubagaimanapun, di sebalik semua keindahan dan kehebatan ini, ada juga kejelekan kota Paris. Di sana-sini iaitu setiap inci kota Paris pasti ada patung-patung manusia dan binaan arca-arca benda hidup dan itu jugalah yang menghiasi hampir kesemua bangunan yang ada di segenap penjuru kota ini. Malah kebanyakan lukisan, patung dan arca yang ada di sekitar Paris kebanyakannya adalah sama ada bogel ataupun separuh bogel. Kebimbangan ini diri timbulkan apabila memikirkan betapa gambar-gambar yang dipahat atau dilukis khususnya yang berjasad (patung) mempunyai pengaruh soal haram dan halalnya dalam Islam sebagaimana yang diperincikan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya “al-Halal wal-Haram”.

Ibnu Abbas meriwayatkan: "Sesungguhnya Rasulullah SAW pada waktu tahun penaklukan Makkah melihat palung-patung di dalam Baitullah, maka baginda tidak mahu masuk sehingga baginda menyuruh, kemudian dihancurkan." (Riwayat Bukhari).

Ali bin Abu Talib juga berkata: "Rasulullah SAW dalam (melawat) suatu jenazah baginda bersabda: Siapakah di kalangan kamu yang akan pergi ke Madinah, maka jangan biarkan di sana satupun berhala kecuali harus kamu hancurkan, dan jangan ada satupun kubur (yang bercungkup) melainkan harus kamu ratakan dia, dan jangan ada satupun gambar kecuali harus kamu hapus dia? Kemudian ada seorang laki-laki berkata: Saya! Ya, Rasulullah! Lantas ia memanggil penduduk Madinah, dan pergilah si laki-laki tersebut. Kemudian ia kembali dan berkata: Saya tidak akan membiarkan satu pun berhala kecuali saya hancurkan dia, dan tidak akan ada satupun kuburan (yang bercungkup) kecuali saya ratakan dia dan tidak ada satupun gambar kecuali saya hapus dia. Kemudian Rasulullah bersabda: Barangsiapa kembali kepada salah satu dari yang tersebut maka sungguh ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW." (Riwayat Ahmad; dan berkata Munziri: Insya Allah sanadnya baik).

Namun, apa yang lebih menarik dan menjadi memori indah bagi diri di kota Paris ini ialah bila diri berkesempatan melihat dan hadir di sekurang-kurangnya dua masjid di Paris iaitu Paris Great Mosque (Masjid Jamek Paris) dan Masjid Al-Fateh. Masya Allah, seperti juga masjid-masjid di The Hague dan Amsterdam, apa yang dapat diperhatikan di semua kota-kota Eropah ini keadaannya sama hampir sama.. Semakin ramai umat Islam yang kian menghayati agama!! Lebih mengharukan ketika diri tiba untuk solat Asar di Masjid Al-Fateh, subhanallah solat penuh sehingga ramai jemaah terpaksa solat di luar masjid malah memenuhi jalan-jalan raya berhampiran! Allahu Akbar! Allah Maha Besar! Diri perhatikan ramai pelancong yang kebetulan berada di situ terpegun dan sempat berhenti, memerhati dan mengambil gambar kerana mungkin bagi mereka ianya satu fenomena ajaib di Paris!! Atau mungkin juga bagi mereka ini sesuatu yang asing!! Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah buat mereka.. Amiin.

Imam Hassan al-Banna menyatakan bahawa: “Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Sebelum meninggalkan kota Paris, sebuah puisi ringkas bertajuk “Maju Menuju Cita” dinukilkan di Stesen Keretapi Gare Du Nord untuk menyatakan iktibar lawatan jelajah Paris. Alhamdulillah!!

MAJU MENUJU CITA

Majulah...
Majulah duniaku..
Majulah Akhiratku..
Majulah dunia dan Akhiratku!

MUHTAR SUHAILI
Gare Du Nord, Paris
8 Oktober 2006, 10.00am.

Miri.. Here I Come Back!

Alhamdulillah, setelah 37 hari berkelana dan berada di bumi Rijswijk ini (Foto: http://as-sarawaki.fotopages.com/?entry=932432), insya Allah pukul 12.00 tengahari esok diri akan berangkat pulang ke bumi tercinta Malaysia. Alhamdulillah, paling menggembirakan insya Allah diri akan menyambut ‘Eidul Fitri al-Mubarak di kampung halaman di Miri, Sarawak. Tidak sabar rasanya untuk bertemu ibu dan ayah tersayang, adik-adik, sanak-saudara, keluarga, jiran-jiran, guru-guru serta sahabat-sahabat seperjuangan di sana.

Sesungguhnya, sepanjang berada di sini kalian sentiasa di hati dan dirindui. Jauh di mata, namun dekat di hati! Kasih sayang dan ukhuwwah fillah itu sesungguhnya amat indah. Benarlah bahawa cinta itu adalah suatu perasaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalami, menjiwai dan menyebarluaskannya. Cinta tidak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang teragung. Manusia membina sahsiah di muka bumi bermodalkan kasih sayang dan cinta. Buat semua, diri ini menyintai dan menyayangi kalian fillah!!

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat: 13)

Akhirnya dikongsikan puisi Aidilfitri oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi untuk tatapan dan renuangan bersama. Semoga ada kebaikan dan manfaatnya.

Kita memberi bukan untuk menerima
Menabur budi bukan untuk dianggap berjasa
Moga tulus, putih dan murni hati kita
Memberi adalah kerana-Nya jua

Tidak mengapa jika tidak dikenang
Asalkan segalanya memberi satu ketenangan
Menyebut kebaikan meragut keikhlasan
Bukan kerana kelebihan kita...

Dalam samar mainan rasa
Kekadang datang jua serpihan bangga
Mengharap adanya balasan
Mendamba hadirnya kemasyhuran

Bukan itu yang diburu sejak mula
Ditagih kasih rasa di depan-Mu jua
Bila terasa segalanya dari-Mu
Rebahlah segala dari kita yang hina

Lalu... tika Takbir Syawal bergema...
Muhasabahlah tentang keberkesanan puasa kita
Apakah sudah ada keikhlasan... di puncak Taqwa
Atau sekadar di pinggiran...
Lapar dahaga!

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar... Wa Lillahilhamd
Oh, syukur kiranya Dikau masih sudi mengizinkan
Kami memuji dan memuja-Mu
Walau dengan lidah dan hati yang berdosa

PAHROL MOHAMAD JUOI
Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.
Aidilfitri 1427H

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Minal aidin wal faizin. Semoga segala ibadah kita pada Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT. Buat semua sahabat-sahabat dan handai taulan yang mengenali diri ini dan membaca catatan ini.. Mohon maaf zahir dan batin, dunia dan Akhirat.


Catatan Rasa;

Muhtar Suhaili As-Sarawaki
20 Oktober 2006/ 27 Ramadhan 1427H
1404, The Grand Winston Hotel
Rijswijk, The Hague, The Netherlands.